Friday, April 18, 2008

LAWAT KELUARGA SHARLINIE, EDAR POSTER

PETALING JAYA, 15 Januari 2008 - Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Jamsari Marsom bersama seramai hampir 50 anggota Unit Amal negeri Selangor telah meluangkan masa melawat keluarga Sharlinie di Taman Medan, Petaling Jaya Ahad lalu.
Dalam lawatan tersebut, Ustaz Jamsari bersama Pengarah Jabatan Amal Selangor, Hj Aszmi Anuar serta anggota Unit Amal Selangor telah mengadakan bacaan Yasin serta doa selamat untuk memohon kepada Allah agar adik Sharlinie dapat ditemui selain dilindungi dari sebarang kejahatan. Turut serta dalam lawatan tersebut ialah TYDP PAS Kawasan PJS, Sdr Salleh.
Dengan kesempatan yang ada, Ustaz Jamsari telah memberi sedikit kata-kata perangsang kepada keluarga En Nashar serta isteri yang kelihatan sugul sejak beberapa hari lalu selain mengutuk tindakan jenayah yang dilakukan terhadap adik Sharlinie dan juga kanak-kanak lain yang semakin berleluasa di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Menurut Ustaz Jamsari lagi, perbuatan menculik kanak-kanak disifatkan sebagai tidak bermoral dan pelakunya adalah manusia yang tidak berakal. Selepas selesai mengadakan bacaan Yasin serta doa selamat, kesemua anggota Unit Amal Selangor telah melancarkan operasi mencari serta mengedar poster adik Sharlinie bermula di sekitar kawasan Taman Medan seterusnya menuju beberapa lokasi tumpuan ramai antaranya Pasaraya Carefour Subang, Pasaraya Giant Kinrara Puchong dan Gombak. Sebanyak 5000 poster adik Sharlinie telah pun diedar kepada orang ramai. Walaupun berada dalam keadaan dukacita serta tekanan yang dihadapi, En Nashar sekeluarga mengucapkan terima kasih diatas kesudian Unit Amal melawat beliau sekeluarga selain menghargai segala usaha yang dibuat oleh Unit Amal untuk mencari anak kesayangannya. [Kiriman : Azri Mohamad Arish]

No comments: